MISTERI KEHILANGAN MH 370...


Kehilangan kapalterbang milik MAS MH 370 masih belum terungkai meskipun misi SAR sudah masuk hari ke 3.  Bantuan dari negara-negara luar yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat ini disertai dengan segala kelengkapan canggih dan teknologi terkini masih belum menampakkan hasil.  Tiada jejak, petunjuk baru atau apa sahaja klu yang menjurus kepada penemuan.     Terpapar di laman-laman media sosial pelbagai spekulasi dan teori berhubung kehilangan pesawat ini.   Ada yang menafsirkannya terhempas di laut, ada yang mengaitkan dengan rampasan berikutan terdapat passport palsu yang digunapakai oleh penumpang misteri.   Tidak kurang juga segelintir mereka yang mengaitkan dengan konspirasi berdasarkan isu politik yang sedang hangat diperkatakan.   Yang menjadikan sebagai satu bahan lawak juga pun boleh tahan juga, tidak kira dari sang menteri, artis atau orang biasa.   Tiada sensitiviti langsung.

Apa yang Suri dapat katakan disini ialah, tidak perlu kita pertikaikan kreadibiliti Juruterbang dan pembantunya, tidak perlu juga menyalahkan mana-mana pihak.  Ini bukan masanya untuk bertelagah.  Persoalannya ialah di mana MH370 sekarang???  Inilah masanya kita sama-sama membantu menyalurkan maklumat dengan tepat, hulurkan bantuan dalam misi mencari dan seterusnya menyelamatkan.    

Bayangkan berapa banyak nyawa berada di dalamnya?? Tidakkah kita berasa bimbang dengan keadaan mereka?  Tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku, bagaimana situasi saat terputusnya hubungan dengan menara kawalan.   

Bagaimana pula waris-waris yang terlibat?  Hidup mereka kini agak kaca bilau, mana hendak menunggu maklumat terkini, tambahan pula banyak tersebar berita-berita yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.  Hilang selera makan, tidak lena tidur, macam-macam persoalan.  Rutin harian mereka juga terganggu.  Si ibu, ayah, isteri, anak, abang, adik, kakak, apa sahaja status mereka terhadap ahli keluarga yang berada dalam pesawat malang itu pasti hiba, sebak, trauma dan rasa hilang arah seketika.   Jadi pada waktu ini janganlah kita bebankan perasaan mereka yang sarat dengan pelbagai rasa yang bercampur aduk.   Hentikanlah menjadikan ianya sebagai bahan lawak jenaka.    Jangan lah kaitkan dengan isu-isu remeh.   Fokus utama sekarang ini ialah keberadaan pesawat itu.   Juga saat ini adalah masa yang sesuai untuk kita bersatu.  Bagi umat islam, seharusnya kita bersyukur dilahirkan sebagai umat Nabi Muhammad s.aw.   Bersatulah.  Ketepikan politik dan sebarang pertelagahan dan percanggahan fahaman dan pendapat.    Rapatkanlah saf dan tunaikanlah solat hajat beramai-ramai bukan hanya di ibu negara malah seluruh Malaysia ini.  Mohonlah doa kepada Allah s.w.t agar di buka hijab dan memberi petunjuk.  Mudah-mudahan Allah s.w.t makbulkan.  Mungkin inilah yang Allah s.w.t hendak tunjuk, supaya kita kembali kepadaNya.  Sesungguhnya segala sesuatu berada di bawah KekuasaaNya.   Apabila dia berkehendak sesuatu itu berlaku, tidak dapat kita menolak.   

Senjata orang mukmin adalah Doa yang tidak putus dan bersungguh-sungguh dengan ikhlas.  

Pada waris-waris terlibat yang beragama Islam, jangan putus berdoa.  Tabahkan hati.  Ini saatnya kamu diuji dengan hebat.  Kuatkanlah semangat dan moga kita sama-sama ambil iktibar dengan apa yang berlaku.   Kepada yang mempersenda, mungkin giliran kamu diuji lebih dahsyat menanti.  Jadi hati-hati dengan apa yang kamu luahkan.  Kerana ia menjadi saksi di Akhirat nanti.

Tiada daya saya hendak membantu melainkan berdoa agar segala penantian akan segera berakhir.  Tak kira bagaimana keputusannya nanti, seharusnya kita redha namun berharap mereka yang terlibat berada dalam keadaan selamat.



2 comments

Hanya Allah swt yang MAHA Mengetahui...

Reply

Catat Ulasan